|
Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini memberi amaran kepada pemaju projek perumahan di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd kerana mengugut penduduk di situ. Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ugutan pemaju untuk menghantar jentolak ke kampung itu sebelum 2 Ogos depan bagi mengusir penduduk dan merobohkan rumah mereka adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan membangkitkan kemarahan. "Ia tidak betul untuk memarakkan rasa takut di kalangan penduduk kampung dengan mengingatkan mereka supaya berpindah sebelum 2 Ogos apabila tempoh ehsan selama sebulan yang diberikan oleh pemaju tamat," katanya dalam kenyataan di Pulau Pinang hari ini. Katanya, tempoh ehsan sebulan itu dirundingkan oleh kerajaan negeri dengan pemaju bagi mencari penyelesaian kepada masalah pengambilan tanah di kampung tersebut dan bukan secara paksaan. "Saya ingin mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri tidak ada kena mengena dengan perpindahan itu atau perintah Mahkamah Persekutuan dan membawa jentolak untuk merobohkan rumah di situ," katanya. Lim berkata, kerajaan negeri juga tidak akan mengambil sesen pun daripada apa yang dikatakan bayaran ehsan daripada pemaju kecuali penduduk bersetuju kepada pampasan itu. Pengarah syarikat, Thomas Chan dilaporkan berkata, mereka kini sedang mengusahakan bayaran ehsan dengan kerajaan negeri di mana kerajaan negeri boleh memilih untuk berurusan dengan penduduk terbabit. Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan penduduk di kampung itu supaya berpindah. Dalam satu lagi kenyataan, Lim, juga setiausaha agung DAP berkata, keputusan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang adalah kerana mereka tidak dihormati kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat. Katanya, DAP Kedah tidak pernah memohon sebarang gelaran atau gelaran Datuk, sebaliknya tidak berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh PAS kepada DAP di negeri itu.
 |
Dah tu nak dilayan camne lagi, senang ginilah Azizan jadi exco bagilah wakil DAP yang kini jadi exco jadi MB, baru betul layanan kut... inilah DAP yang saya kenali sejak dulu.. sentiasa tidak berpuashati walaupun telah diberikan keistimewaan.. insan2 yang tak pernah bersyukur dengan apa yang dimiliki...