|
Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta bantuan daripada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala di negeri ini. Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri mengakui tidak mampu untuk mengambil alih tanah di kampung itu daripada sebuah koperasi dan pemaju bagi membolehkan 23 keluarga terus tinggal di situ kerana kos yang terlalu tinggi. "Kita boleh ambil alih tanah itu melalui Akta Pengambilan Tanah, kita harap kerajaan pusat boleh beri bantuan," katanya. Lim berkata, walaupun kerajaan negeri prihatin terhadap nasib penduduk berkenaan yang diarahkan keluar dari kawasan itu, tetapi kos untuk mengambil alih semula tanah itu adalah terlalu tinggi memandangkan status tanah itu adalah pegangan bebas dan telah diluluskan untuk tujuan pembangunan. Lim bagaimanapun tidak menyatakan kos untuk mengambil alih tanah itu. Beliau berharap kerajaan persekutuan dapat membantu kerajaan negeri mengambil balik tanah itu daripada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang dan membayar pampasan kepada pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.
 |
Kita ada banyak agenda lain untuk bantu rakyat. Mereka BN yang buat masalah bagi mereka tanggung sendiri.